Kita kini telah bersama
Tanganmu mesra di sisiku
Tanganku intim di sisimu
Kita tidak lagi berteka-teki.
Di Majlis Raja Sehari penuh indah
Betapa aku ingin bertanya-Jawab
Soalan genting pada hari penting
Apakah itu ma'na kebahagiaan?
Tidak, kekasih hati-akalku, tidak
Telah sebelumnya singkat kufikir
Teka-teki telahpun selesai-tamat
Antara kita, namun sungguh tidak!
Teka-teki itu bukan se-qadar
Apakah aku di dakapanmu
Atau di dakapan insan lain
Ia sungguhnya akbar dari itu!
Penyelarasan diri di tingkat zahir
Sejatinya bermula di tingkat batin
Batin-rohani itu mencakup persoalan
Ruh, qalb, nafs dan 'aqal di sisi Allāh.
Jadi, kini, pada hari penting-genting
Mari kita sehati sejiwa secara 'aqli
Selesaikan teka-teki abadi berbaki
Agar beroleh penghayatan sebenar.
Fahaman bahawa kebahagiaan itu
Sentiasa perlu dicari dan dikejar
Tidaklah dapat dipertahankan benar
Demikian cuma rekaan tilikan nazar.
Sebahagian manusia terperangkap
Dalam kotak namun tidak tahu-kenal
Lalu merangkai "kata-kata hikmah"
Tanpa pernah mengena pada hakikat.
Pada me-reka, kebahagiaan itu
Asing daripada dan wujud di luar diri
Ia datang serentak dengan ia pergi
Tiada pernah pada diri menetap kekal.
Justeru pada kesempatan dan fortuna-lah
Segala atom kebergantungan dan harapan
"Sempatkah aku mengejarnya?" dan
"Bernasib baikkah aku kali ini/akhirnya?"
Pada me-reka, kebahagiaan itu
Tiada kekal selain sementara
Ketidaktenangan kalbu dan Tragedi
Dihayati sebagai hakikat hidup abadi.
Duhai sayangku, ke hadapan mereka
Apakah jawapan telah kau sedia?
Jika jawapan tak pernah kau punya
Jawapan mereka akan pengaruhi kita.
Katakan bi'l-yaqīn pada mereka bahawa
Kebahagiaan hakiki itu kekal sifatnya
Menetap-kekal di batin, merata ke zahir
Melibatkan aspek dunia dan aspek akhirat.
Kebahagiaan di dunia itu sesungguhnya
Ada dua tingkat-martabat nan bisa dicapai
Peringkat pertama merujuk wajah nafsi
Peringkat kedua merujuk peringkat ruhani.
Wajah nafsi itu merujuk emosi dan citarasa
Tiadalah kekal pada peringkat rupazahir itu
Manakala peringkat ruhani itu sifatnya kekal
Merujuk diri ruh pada martabat keyakinan.
Kebahagiaan sebenar itu sungguhnya
Berada pada hakikat imān dan ihsān
Setelah berjaya ditemukan Jawab-an
Bagi soalan Kekal-Abadi Hamba-Tuhan.
Pemerintahan diri oleh diri ke atas diri
Selamanya menjadi tanggung-Jawab diri
Biarpun kita kini telahpun berpasangan
Tetaplah masing-masing wāhidah adanya!
Kini setidaknya kita ma'lūm hakikinya
Bahagia bukan pada hubungan kau-aku
Itu bersebab aku selamanya di luarmu
Sepertimana kau selamanya di luarku.
Yakinlah, oleh sebab itu, hai kekasihku
Bahawa kau tiada dapat bahagiakanku
Laksana aku tak dapat bahagiakanmu
Kita cuma boleh menolong sesama kita.