Sebatang kara
Terapung sendiri
Gigil kedinginan
Di atas luas laut
Di balik hingarbingar
Kiriman angin
Dari pelbagai arah
Ada petunjuk tinggi
Bahawa kara berasal
Dari kata khāra
Yang dari situ terbit
Khayr dan ikhtiyar
Sebatang pula seerti
Tunggal, ifrad, tafrid
Bahkan kemuncaknya
Samadi pada Tunggal
Bersabarlah 'tuk tumbuh
Seperti benih dalam gelap
Dikit demi dikit tapi pasti
Menongkah dahan ke atas
Jika benar kara dari khāra
Berishtiqaq-berkait pula
Akhir dan akhar; Itulah -
Akhirah dan khalq akhar
Buaian ombak itu kendera
Mengangkutmu menuju
Daratan abadi, kelak di sana
S'gala nan disemai dituai
Tumbuh pohon dengan akar
Akar itu pula adalah akhar
Meng-akar, balik pada punca
Bererti kembali khalq akhar
Bukan galian, bukan tumbuhan
Bukan juga hayawan lainnya
Melainkan khalqan akhar
Tinggi melebihi Tiga Kingdom
Tumbuhlah, hai khāra, tumbuh
Dengan berlari ke dalam diri
Anggur hanya matang
Ketika berlari ke dalam (akhir).