Kata mahaguru rasikh, puasa dan akal
Sesungguhnya berkongsi makna asas
"Menahan", "menangkap", "mengikat"
Kaff, imsak dan istimsak adalah dasar
Dengan akal, ma'na-ma'na tinggi-benar
Menjadi tahanan; diikat secara bahasa
Diserap, dikandung, ditanggung ruh-kalbu
Lalu insan ta'luqkan diri lurus-seimbang
Dengan sawm, penahanan-pemutusan diri
Secara berkala daripada ikatan-ikatan
Material-zahir cumalah mengingatkan
Bahwa manusia itu bashari-insani sekaligus
Segala ikatan, penahanan dan penangkapan
Yang dimaksudkan dalam bahasa al-Qur'ān
Menerusi faham akal dan faham puasa
Akhirnya mengalir dari faham agama jua.
Selain 'aql dan sawm, ikatan-penahanan
Turut terbawa pada kata-kata seperti
Aqīdah, i'tiqād, 'aqad, ta'luq, dan 'alāqah
Berasal-usul ma'na dari dīn dan mithāq jua.
Dengan kefahaman yang benar mendalam
Ikatan-penahanan dan penyerahan diri
Bukanlah suatu kekangan-ketidakbebasan
Melainkan ia kebebasan menurut fitrah jua.
Dari kerana itulah, sawm tiada mengikat
Manusia sesuka hati kepada segalanya
Buktinya, insan dituntut memutus diri
Dari ikatan-ikatan material-zahiri berkala
Begitu juga, aqal yang sihat tiada mengikat
Manusia kepada kepercayaan karut-tahyul
Laksana belenggu iqal al-ba'ir, aqal sihat
Menetap-sabit insan agar lurus-seimbang
Dek kerana itu, Mahaguru Ru'yat berpesan
Bebaskanlah diri dari jeratan Belenggu Kafir
Tanpa hikmah, sifat asasi aqal mengikat
Akan terbiar tanpa hala-tuju, mengikat buta
Islām tiada pernah menganjurkan kebutaan
Sebaliknya, ia mengishtihar visi sedari mula
Bahawasanya, "belief has cognitive content"
Itulah kerangka penyaksian Rencana Ru'yat
Secara bertangga, bertahap dan berdarjat
Manusia bakal Dipulangkan kepada Tuhan
Kenali dirimu hai talib, asal-usulnya ruhani
Aqallah mizan Tuhan di dunia; Kawal-Setia