Kekasihku, ketahuilah bahawa
Kebebasan sebenar bukanlah
Tentang mutlak mengeluarkan diri
Dari gari, rantai, ikat, sekat, belenggu
Kononnya nafas bebas hanya dihirup
Setelah segala landasan dimatifungsi
Ta'akul murni tanpa sebarang ikatan
Kunci agung bagi jalan keselamatan
Benarkah dugaanmu itu kekasihku
Atau sangkaanmu masih terjerat
Tidakkah perhindaran dari satu kondisi
Perlukan pergantungan kondisi lainnya?
Apakah layang-layang benar-benar
Bebas setelah tali diputuskan atau
Setelah bertukar tangan dari si jahil
Kepada Sang Bijaksana mulia pekerti?
Mustahil benar jika kebebasan hanya
Dicapai kala segala gantung bungkam
Insan cuma berdaya berpindah kondisi
Bukan menghancur langsung ke-Ada-an
Tidak seperti nyanyian Puppet Faouzia
Menabal dirinya Geppetto; Tok Dalang
Lagak memutus ikatan, tuju Hurriyyah
Masih terjerat pada faham kebonekaan
Tidak juga seperti fatalism Eren Jaeger
Melakoni One Great Enemy bangkitkan
Sisa kemanusiaan dalam saf kesatuan
Terbelenggu pada faham konsequen
Berlarilah ke Tuhan dalam ikat Agama
Meletak diri dalam acuan akhlak-Nya
Dalam dirimu, hai insan, semua terlibat
Dirimulah salinan ringkas; khalifahNya